BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Jelajah 9 negeri promosi Tahun Melawat Sepang 2020

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 7 JAN: Sebanyak sembilan negeri akan dijelajah Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bagi mempromosikan Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS2020), bermula hari ini.

Yang Dipertuanya, Mohd Fauzi Yatim berkata, rangka kerja promosi melalui acara konvoi motosikal itu membabitkan Johor; Negeri Sembilan; Melaka; Pahang; Kelantan; Terengganu; Perak; Kedah dan Pulau Pinang.

“Konvoi MPSepang ini akan membawa identiti daerah ini termasuk memperkenalkan produk pelancongan seperti keindahan flora dan fauna serta produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Selain menjadi pintu masuk utama negara, Sepang mahu pelancong dalam mahupun luar negara tahu di sini terdapat pelbagai destinasi menarik yang boleh dikunjungi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelepasan Konvoi Jelajah Malaysia sempena TMS 2020, di Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Sepang, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, MPSepang turut mengumumkan tagline Sepang Gerbang Negara bersempena TMS 2020.

Mohd Fauzi berkata, TMS 2020 turut menyasarkan lima juta pelancong, iaitu 80 peratus pelancong tempatan dan 20 peratus pelancong antarabangsa dengan hasil pendapatan RM5 bilion.

Katanya, pelaksanaan TMS 2020 juga adalah sebahagian usaha menyokong hasrat Kerajaan Negeri bagi memperkenalkan eko pelancongan setiap daerah, di Selangor.

“Kita sudah merangka promosi ini sejak 2018 dan matlamat kita satu sahaja iaitu membawa Sepang ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhammad Hafiz Shaari, Timbalan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Awaluddin Zakaria dan Ahli Majlis.

Seramai 50 peserta yang terbabit turut akan menjelajah ke 10 lokasi Pihak Berkuasa Tempatan seluruh negara, termasuk Majlis Daerah Pekan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Kota Bharu.

 


Pengarang :