SELANGOR

JKP bantu sistem penyampaian MPSJ

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 19 JAN: Jawatankuasa Penduduk (JKP) menjadi tonggak penting dalam membantu meningkatkan kualiti penyampaian Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), khususnya kepada masyarakat setempat.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, peranan itu selaras dengan hala tuju menjadikan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit sebagai sebuah perbandaran mampan.

Katanya, ia juga bagi melahirkan komuniti madani seiring pelan tindakan strategik MPSJ 2012-2030 melalui pelbagai medium termasuk program dan aktiviti mingguan, mesyuarat dan media sosial.

“Kita membudayakan pembabitan JKP untuk turut bersama dengan MPSJ dalam program dan aktiviti dilaksanakan antaranya program zon bersih, memberdaya komuniti di pangsapuri kos rendah serta kesejahteraan masyarakat bandar yang memerlukan komitmennya.

“Malah, MPSJ sering dijadikan rujukan oleh rakan PBT daripada segi tadbir urus, perancangan dan pembangunan yang mesra alam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk dan Zon Bersih JKP peringkat MPSJ 2018 di Holiday Villa Hotel, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin; EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha; EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze dan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohammad Zulkarnain Che Ali.

JKP MPSJ mula ditubuhkan pada 10 Februari 2001 dan antara PBT pertama melaksanakan inisiatif itu.

Mempunyai 24 Zon mewakili hampir 790, 429 penduduk di seluruh kawasan pentadbiran berkenaan, penubuhannya sebagai mekanisme ke arah mewujudkan hubungan dua hala dan persefahaman melalui penganjuran program kemasyarakatan secara kolektif.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, pihaknya mengiktiraf sumbangan barisan JKP yang berjaya menjalankan fungsinya sebagai medium komunikasi kepada penduduk.

Katanya, hal itu kerana JKP berperanan penting untuk menyalurkan maklumat tepat, telus dan terperinci berhubung aktiviti, dasar serta perkembangan semasa pentadbiran kepada penduduk.

“Mereka turut mendapatkan maklumat berkaitan permasalahan dan aduan penduduk untuk diselesaikan di peringkat MPSJ.

“Pada masa sama, JKP juga menggalakkan pembabitan masyarakat dalam aktiviti kemasyarakatan, selain merapatkan hubungan silaturrahim dalam kalangan penduduk, sekali gus mewujudkan semangat perpaduan berbilang bangsa,” katanya.

 


Pengarang :