SELANGOR

JKP Zon 4 bolot Anugerah Keseluruhan Terbaik JKP MPSJ

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 19 JAN: Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 4 mengungguli Anugerah Keseluruhan Terbaik pada Majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk dan Zon Bersih JKP Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2018 yang berlangsung di Holiday Villa Hotel, di sini, malam tadi.

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin sambil diiringi Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.

Dalam majlis penuh gilang gemilang itu, JKP Zon 4 menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5,000, piala berserta sijil manakala JKP Zon 16 pula memenangi Anugerah Zon Bersih Keseluruhan Terbaik dengan membawa pulang RM3,000, piala dan sijil.

Noraini berkata, penganugerahan terbabit bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan barisan JKP yang berjaya melaksanakan fungsinya sebagai medium komunikasi antara pihaknya bersama penduduk.

Katanya, penghargaan itu wajar diberikan sebagai tanda galakan terhadap usaha JKP MPSJ terutama dalam memajukan dan berkhidmat kepada masyarakat setempat.

“Ia secara tidak langsung dapat mewujudkan persaingan secara sihat antara JKP dalam melaksanakan tanggungjawab diberikan melalui pembabitan 24 JKP MPSJ, selain menggalakkan penyertaan komuniti terhadap aktiviti kemasyarakatan.

“Selaras dengan objektif kami, anugerah ini juga bagi mewujudkan kawasan JKP yang bersih, cantik dan harmoni serta mementingkan sifat ‘Go Green’,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Turut hadir, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha; EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze dan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohammad Zulkarnain Che Ali.

Pada masa sama, Noraini berkata, rentak dan momentum kemenangan itu perlu diteruskan sebagai langkah bersama menyalurkan perkhidmatan berkualiti dan terbaik kepada penduduk.

“Saya berharap penduduk melalui JKP dapat memberi maklum balas terhadap sistem dasar, program dan aktiviti dilaksanakan oleh pentadbiran untuk menjayakan pelan strategik MPSJ 2012-2030.

“Kerjasama dua hala antara MPSJ dan penduduk, khususnya menerusi saluran JKP harus dijalinkan secara lebih erat lagi supaya setiap perkhidmatan disalur diterima setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, Pertandingan Zon Bersih mula diperkenalkan Kerajaan Negeri pada 2010 dan MPSJ menganjurkan pertandingan itu mulai 2014 membabitkan empat JKP merangkumi Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Kinrara, Sri Serdang dan Seri Kembangan.

Antara kategori Zon Bersih dipertandingkan adalah Anugerah Program Kemasyarakatan JKP Terbaik, Anugerah Pengurusan INDEN JKP Terbaik, Anugerah Pemantauan Kebersihan Persekitaran, Anugerah Pemantauan Perkhidmatan Awam, Anugerah Dokumentasi dan Anugerah Inovasi.

Manakala bagi kategori JKP termasuk Anugerah Program Kemasyarakatan JKP Terbaik, Anugerah Pengurusan Kewangan JKP Terbaik, Anugerah Pengurusan Projek JKP Terbaik, Anugerah Kepimpinan JKP Terbak dan Anugerah Pegawai Kawasan JKP Terbaik.

Dalam majlis sama, klip video dan lagu tema ‘Program Komuniti Berdaya Komuniti Madani’ turut dilancarkan sebagai persediaan MPSJ mencapai status bandar raya.

 

 

 

 

 

 


Pengarang :