SELANGOR

“Jom Belajar Make Up” bantu wanita jana pendapatan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 JAN: Program “Jom Belajar Make Up” anjuran Pusat Komuniti Wanita dengan kerjasama Wanita KEADILAN Cabang Tanjong Karang mampu menjana pendapatan lumayan.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, program itu bertujuan membantu wanita meningkatkan ekonomi, tidak kira sama ada golongan berkerjaya atau suri rumah.

“Program Jom Belajar Make Up” ini berupaya merangsang wanita di sini supaya dapat menceburi bidang keusahawanan, dengan sasaran utama meningkatkan pendapatan dan memperkasa ekonomi rumah tangga.

“Ia juga sebagai motivasi kepada setiap wanita untuk tampil lebih yakin dan elegan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, peluang menceburi bidang tata rias itu terbuka kepada wanita yang mempunyai minat, rajin dan mahu memajukan diri.

“Kita berharap program ini membolehkan mereka memajukan diri dan keluarga tanpa bergantung semata-mata kepada pendapatan suami.”

“Kami di DUN Permatang hanya sebagai pembuka jalan dan akan membantu peserta memajukan diri dan boleh melangkah lebih jauh, katanya.

Terdahulu, Rozana turut meluangkan masa bersama 30 peserta yang hadir menimba ilmu pada program terbabit, pada 26 Januari lalu.

 


Pengarang :