GLOBAL

Jordan kutuk pencabulan berulang kali Israel ke atas Masjid Al-Aqsa

AMMAN, 8 JAN: Jordan mengutuk pencabulan berulang kali rejim Israel ke atas Masjid Al-Aqsa, lapor agensi berita China Xinhua.

Jurucakap Kementerian Luar Jordan, Majed Qatarneh, pada semalam menyelar tindakan menteri pertanian dan puak radikal Israel yang menyerbu perkarangan masjid itu dengan perlindungan polis rejim.

“Tindakan sedemikian adalah provokatif terhadap perasaan umat Islam di seluruh dunia dan merupakan satu pencabulan terhadap komitmen Israel sebagai satu kuasa yang menduduki di Baitulmaqdis Timur seiring dengan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Para pegawai Jordan, yang menganggap kerajaan Israel bertanggungjawab bagi tindakan sedemikian, menggesa agar provokasi itu segera dihentikan.

Jordan, yang menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1994, mengawasi tempat-tempat suci umat Islam dan penganut Kristian di Baitulmaqdis Timur, yang dianggap sebagai ibu kota Palestin.

– BERNAMA


Pengarang :