GLOBAL

Justin Trudeau pecat duta ke China

OTTAWA, 27 JAN: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau memecat dutanya ke China, selepas mengeluarkan kenyataan tidak wajar membabitkan kes ekstradisi berprofil tinggi, berkenaan pegawai kanan Huawei yang dikhuatiri boleh menimbulkan ketegangan politik.

Sebelum ini, John McCallum dilapor memalukan kerajaan pimpinan Trudeau, apabila mengeluarkan kenyataan bahawa Ketua Pegawai Kewangan, Huawei Technologies Co Ltd, Meng Wanzhou mempunyai hujah kuat untuk mengelak daripada dihantar ke Amerika Syarikat.

Susulan itu, pengamal undang-undang pembangkang dan bekas duta menuduh tindakan campur tangan dalam isu politik oleh McCallum itu sebagai tidak wajar, yang dibimbangi boleh menjejaskan hubungan antara Kanada dan China.

Bulan lalu, Wanzhou yang juga anak perempuan pengasas Huawei, ditahan di Vancouver atas tuduhan melanggar sekatan Amerika Syarikat terhadap Iran.

Berikutan penahanan itu, China memberkas dua warga Kanada atas alasan keselamatan negara, malah mahkamah negara itu turut membicarakan semula kes seorang lelaki rakyat Kanada yang dipenjara kerana menyeludup dadah, dan beliau dijatuhi hukuman mati.

“Malam semalam saya sudah meminta dan menerima peletakan jawatan John McCallum sebagai Duta Kanada ke China,” kata Trudeau dalam satu kenyataan, tanpa menyatakan sebarang alasan terhadap keputusan berkenaan.

*Sumber: BHOnline/Reuters


Pengarang :