NASIONAL

KATS nafi beri kelulusan AP eksport pasir secara terus

OLH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 JAN: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menafikan memberi kelulusan untuk mengeksport pasir kepada empat syarikat secara rundingan terus.

Sebaliknya, kementerian itu dalam kenyataan berkata, mereka memperoehi kebenaran selepas melepasi semua syarat ditetapkan.

Katanya, isu rundingan terus dalam soal kelulusan lesen eksport (AP) pasir juga tidak berbangkit kerana syarikat terbabit memperoleh kelulusan daripada Kerajaan Negeri sebelum permohonan dipertimbangkan kementerian.

“Bagi pengeksportan bahan seperti pasir yang tersenarai dalam Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017, lesen eksport (AP) perlu diperolehi terlebih dahulu daripada KATS dan permohonan akan dipertimbangkan mengikut prosedur ditetapkan.

“Sebelum pertimbangan dan kelulusan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli diberi, syarikat berkenaan perlu terlebih dahulu memenuhi syarat ditetapkan dan memperolehi kelulusan daripada Kerajaan Negeri di mana sumber pasir itu diperolehi.

“Mana-mana syarikat boleh mengemukakan permohonan untuk mengeksport pasir jika mematuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Portal berita Sabahkini2.com dalam berita bertajuk ‘Menteri Luluskan AP Eksport Pasir Secara Rundingan Terus Kepada 4 Syarikat Kroni’ yang disiarkan semalam turut memaparkan gambar sekeping surat ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan Menteri, Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Gerald Sundaraj, menggunakan kepala surat Menteri.

Dalam perkara sama, KATS memandang serius penyiaran dan penularan dokumen rasmi dalaman serta akan mengadakan siasatan dalaman bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berlaku, pada masa hadapan.


Pengarang :