SELANGOR

KDEBWM hargai keprihatinan rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 JAN: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan rakyat Selangor yang melaporkan insiden berhubung sub-kontraktor menggunakan warga asing sebagai pemandu lori.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pada masa sama pihaknya kesal dengan insiden terbabit sehingga menjadi tular di media sosial.

“KDEBWM telah mengambil tindakan ke atas sub-kontraktor terbabit dan turut mengarahkan semua sub-kontraktor supaya memastikan mereka menggunakan khidmat pemandu warga tempatan mempunyai lesen memandu lori yang sah.

“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas sub-kontraktor didapati gagal mematuhi SOP ditetapkan termasuk menamatkan kontrak perkhidmatan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut isu tular di media sosial berhubung rakaman video seorang pekerja Bangladesh mengaku sudah lapan tahun memandu lori tanpa lesen dan lori dipandu adalah sub-kontraktor KDEBWM.

Ramli berkata, pihaknya memohon kerjasama semua pihak supaya tidak terus menularkan video berkenaan.

Katanya, adalah tidak wajar sekiranya hanya kerana satu kes terbabit, ia dijadikan indikator seolah-olah semua sub-kontraktor menggunakan pemandu warga asing.

“Kami akan terus komited memastikan Selangor sentiasa bersih dan memberi jaminan untuk sentiasa mematuhi lunas undang-undang ditetapkan pihak berkuasa di negara ini,” katanya.


Pengarang :