SELANGOR

Kedai mamak ‘popular’ diarah tutup

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 JAN: Sebuah cawangan restoran mamak yang kerap dikunjungi ramai di Seksyen 9, di sini, diarah tutup selama dua minggu berkuat kuasa serta merta ekoran gagal mematuhi piawaian kebersihan ditetapkan.

Notis perintah tutup premis terbabit dikeluarkan ketika serbuan dijalankan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama beberapa jabatannya iaitu Jabatan Pelesenan, Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Bangunan.

Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd Rashidi Ruslan berkata, hasil pemeriksaan itu, pemilik premis makanan didapati mengabaikan tahap kebersihan khususnya dalam aspek penyediaan makanan dan penyimpanan makanan.

“Peralatan yang digunakan juga kurang bersih, kebersihan tandas kurang memuaskan dan pekerja tidak mempunyai suntikan TY2 (anti-typhoid).

“Kegagalan pemilik premis mematuhi syarat ditetapkan, tindakan boleh diambil mengikut Undang-Undang Kecil sedia ada seperti Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan MBSA 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan & Perindustrian MBSA 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan MBSA 2007,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas turun padang dalam operasi mengejut premis makanan di sekitar Shah Alam, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, sepanjang operasi itu sebanyak 70 premis diperiksa dan empat daripadanya diarah tutup untuk kerja pembersihan.

Katanya, MBSA akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan premis terbabit mencapai tahap pemarkahan kebersihan dan peraturan yang dikehendaki.

“Kami mahu memastikan mereka menghadiri kursus pengendalian makanan dan mendapatkan suntikan anti-Typhoid (TY2) kerana ia memang peraturan ditetapkan kepada sesiapa sahaja yang mahu mengendalikan makanan.

“Memandangkan operasi ini akan dijalankan secara berkala pada setiap bulan, pengusaha premis makanan yang mendapat lesen diingatkan supaya memastikan restoran mereka di tahap yang terbaik,” katanya.


Pengarang :