SELANGOR

Kejohanan Golf Amal bantu naik taraf surau, berjaya kutip RM300,000

OLEH NORHAYATI UMOR

BANTING, 20 JAN: Kejohanan Golf Amal bagi mengumpul dana menaik taraf Surau Ar-Rayyan, Seksyen 7, berjaya mengutip hampir RM300,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Golf Amal, Dato’ Mohd Sukor Abd Manan berkata, kejohanan berkenaan diadakan kali pertama bagi mengutip dana pembaikan surau itu.

Katanya, kejohanan itu juga berjaya menarik penyertaan daripada 100 pemain.

“Surau ini ditubuhkan sejak 2009 yang bersifat sementara pada mulanya namun kini ia tidak lagi dapat menampung jemaah.

“Di surau ini juga terdapat seramai 89 pelajar pusat tahfiz,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Golf Amal Surau Ar-Rayyan, Seksyen 7 di Amverton Cove Golf & Island Resort, di sini, hari ini.

Mohd Sukor berkata, surau berkenaan didirikan di atas tanah berkeluasan 0.8 hektar dan dijangka menelan belanja sebanyak RM6 juta.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyambut baik usaha jawatankuasa surau berkenaan dalam mencari dana untuk membaik pulih rumah ibadah.

“Usaha ini penting untuk masyarakat Islam selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperhebatkan aktiviti surau atau masjid di negeri ini.

“Selain dapat mengukuhkan silaturahim, surau atau masjid dapat menyampaikan dakwah dan menunaikan ibadah oleh jemaahnya dalam keadaan selesa,” katanya.


Pengarang :