NASIONAL

Kemalangan di Jambatan P.Pinang, kereta terhumban ke laut

GEORGE TOWN, 20 JAN: Sebuah kereta terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, di sini, awal hari ini.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Perai, Azlan Hassan berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.54 pagi memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan dan sebuah daripadanya telah terhumban ke dalam laut.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari BBP Perai yang tiba di lokasi kejadian, mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dan pemandunya berusia 20-an mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan berkenaan.

“Sebuah lagi kereta terbabit dalam kemalangan itu telah terjatuh ke dalam laut namun pihak kami masih belum dapat memastikan jenis kenderaan dan status mangsa di dalam kereta berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Azlan berkata, operasi mencari dan menyelamat kenderaan serta mangsa yang terjatuh ke dalam laut itu dijalankan oleh anggota bomba bersama dengan pasukan Polis Marin.

Sementara itu, seorang pemancing di kawasan tiang bawah Jambatan Pulau Pinang yang mahu dikenali sebagai Azrul, 30-an berkata, semasa kejadian dia sedang memancing bersama dua rakannya sebelum ternampak sebuah kereta terhumban ke dalam laut lalu tenggelam.

Katanya, dia bersama dua rakan cuba mencari mangsa namun tidak menjumpai sesiapa.

“Waktu kereta itu terjatuh memang kami nampak tapi tak sempat perasan jenis kenderaannya. Kami cuba cari mangsa dengan menyuluh guna lampu picit yang kami bawa namun tidak menjumpai sesiapa di tempat kereta terjatuh,” katanya.

Beliau berkata, mereka memaklumkan kejadian itu kepada Polis Marin yang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

SUMBER: BERNAMA

FOTO: MSTAR


Pengarang :