NASIONAL

Kemudahan OKU di ibu negara akan ditambah – Khalid

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Kemudahan untuk orang kelainan upaya (OKU) di ibu negara akan ditambah dan dipertingkat bagi memastikan golongan itu dapat menjalankan urusan harian dengan lebih selesa dan selamat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kajian mengenai perkara itu akan dilakukan pihak kementerian dan agensi di bawahnya.

Beliau berkata, antara kemudahan untuk OKU yang akan ditambah ialah laluan khas atau tanjakan untuk memasuki bangunan, laluan pejalan kaki yang lebih mesra OKU terutama untuk yang berkerusi roda dan cacat penglihatan serta tandas untuk OKU.

“Ada beberapa tempat yang langsung tak ada kemudahan untuk golongan OKU, justeru kementerian menerusi pelbagai agensi di bawahnya akan melakukan tinjauan di sekitar ibu kota dan merangka pelan untuk pembinaan kemudahan OKU kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program OKU Sahabatku Fun Ride 2.0 anjuran Yayasan Prihatin Insan (YPI) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi YPI, Ishak Ismail dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Sementara itu, Ishak berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM175,000 bagi projek kemudahan Van Mobiliti untuk golongan OKU yang akan membantu golongan itu menjimatkan kos pengangkutan mereka.

“Sasaran RM175,000 ini adalah jumlah kos untuk pembelian sebuah van Toyota Hiace berharga RM96,000, pemandu bergaji untuk setahun, insurans, penyelenggaraan van dan sebagainya.

“YPI akan menyediakan kemudahan ini di kawasan Lembah Klang untuk peringkat awal yang dijadual bermula Februari,” katanya.

Beliau berkata, YPI juga merancang untuk memperluaskan perkhidmatan van itu di kawasan bandar di seluruh negara dan untuk itu pihaknya mengalu-alukan pembabitan golongan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi sumbangan dalam bentuk kewangan atau pengurusan van mobiliti.

Sumbangan dana kepada golongan OKU itu boleh dibuat melalui akaun Maybank 564799106040 atau Bank CIMB Islamic 8602631618 atau menghubungi YPI di talian 013-3660599.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :