SELANGOR

Keputusan bina perpustakaan awam selepas Tahun Baharu Cina

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 JAN: Keputusan berhubung cadangan tapak pembinaan perpustakaan awam di Program Perumahan Rumah Termiskin (PPRT) Lembah Subang, di sini, akan dimuktamadkan dalam perbincangan yang diadakan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, pihaknya perlu menyelesaikan beberapa perkara penting termasuk membuat semakan terperinci berkaitan dokumen, undang-undang dan peraturan sebelum memberi kata putus.

Katanya, peruntukan bagi tujuan pembinaan perpustakaan itu juga sudah diluluskan membabitkan kerjasama antara Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Isunya adalah tempat sahaja. Selepas menerima maklumat berkenaan, saya mengatur pertemuan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), PPAS, Ahli Majlis termasuk Majlis Perwakilan Penduduk Zon 4 Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk melihat sendiri tempat yang dicadangkan bagi pembinaan perpustakaan awam itu.

“Di PPRT Lembah Subang sebelum ini dicadangkan untuk membuat bazar oleh kerajaan terdahulu, tetapi sampai sekarang tiada apa-apa, bahkan tidak ada sebarang permohonan diterima kerajaan masa itu kepada KPKT,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Katanya, konsep perpustakaan kontena di Kampung Lindungan akan dibawa bagi projek pembinaan perpustakaan komuniti di kawasan Lembah Subang.

Pada masa sama, katanya, inisiatif itu diambil bagi menghindari gejala tidak sihat ekoran kebanyakan golongan muda yang menghuni kawasan terbabit tidak bersekolah.

“Sekurang-kurangnya dengan ada kemudahan seperti ini akan dapat menggalakkan anak ini membaca, belajar, menghadiri tuisyen dan berkumpul bersama, malahan mereka boleh melakukan aktiviti santai seperti riadah serta bermain ‘game’.

“Memandangkan permohonan daripada penduduk sudah lama dibuat, maka saya amat berharap perpustakaan komuniti ini dapat didirikan demi manfaat penduduk, khususnya di Lembah Subang,” katanya.


Pengarang :