CAMERON HIGHLANDS, 3 Jan — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa melawat tapak pencerobohan tanah, rizab sungai dan rizab jalan di penempatan Orang Asli Pos Terisu, Cameron Highlands sempena lawatan kerja beliau di daerah ini hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Kerajaan mahu wujud pelan pembangunan Orang Asli

CAMERON HIGHLANDS, 3 JAN: Kerajaan akan mengkaji keperluan mewujudkan Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli yang komprehensif sebagai antara usaha memajukan masyarakat pribumi itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar, selain Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional untuk perbincangan lanjut.

Katanya, perkara itu selaras Konvesyen 107 Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) Mengenai Orang Asli yang menggalakkan setiap kerajaan membabitkan Orang Asli dalam projek pembangunan selain menyediakan panduan perlindungan.

“Kerajaan Persekutuan yang baharu sangat prihatin dan ingin menyertakan Orang Asli dalam arus pembangunan, baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Masyarakat Orang Asli Daerah Cameron Highlands, di Kampung Orang Asli Sungai Ruil di sini, hari ini.

Katanya, adalah penting untuk semua pihak bersama memahami perbezaan cara hidup masyarakat pribumi itu dan pada masa sama mencari titik persamaaan bagi mengeratkan lagi kerjasama serta silaturahim memajukan Orang Asli dengan lebih efektif.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan Kerajaan Pahang supaya mewartakan tanah rizab Orang Asli sebagai usaha memastikan mereka tidak kehilangan tempat tinggal dan sumber pendapatan kesan daripada pembangunan.

“Pembangunan, penerokaan, pencerobohan dan pengambilan tanah adat menimbulkan konflik dan menyebabkan Orang Asli kehilangan tempat tinggal, kawasan pencarian hasil serta sumber hutan bagi menyara kehidupan,” katanya.

CAMERON HIGHLANDS, 3 Jan — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berucap ketika mengadakan pertemuan bersama komuniti pekebun Cameron Highlands sempena lawatan kerja beliau di daerah ini, hari ini.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dr Wan Azizah berkata, isu Tanah Adat adalah cabaran kepada kerajaan untuk membangun dan memajukan taraf sosioekonomi Orang Asli kerana kehidupan masyarakat terbabit sangat berkait rapat dengan tanah serta ekologi persekitaran mereka.

Beliau juga mahu masyarakat Orang Asli supaya bersama menjaga kelestarian alam sekitar yang merupakan satu daripada tarikan pelancong, seterusnya menjana sumber pendapatan.

“Kita mahu pulih dan lestarikan Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan kerana orang luar nak tengok tempat ini.

“Inilah yang kita nak jaga supaya tarikan ini tidak hilang untuk jana ekonomi Orang Asli,” katanya.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :