SELANGOR

Kerajaan Negeri bakal laksana Ekspo R&D

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 JAN: Kerajaan Negeri bakal melaksanakan program Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi menghimpun serta menampilkan hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi, pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ekspo itu juga bertujuan memperkenalkan dengan lebih dekat berkenaan bidang penyelidikan terdapat di institusi pengajian seluruh Selangor.

“Program bakal dilaksanakan ini akan menghimpunkan hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi di dalam Gugusan Pendidikan Selangor.

“Malah, setiap institusi Gugusan Pendidikan ini boleh diperkasakan lagi sekiranya wujud kerjasama antara semua pentadbir institusi di mana nilai pendidikan mungkin boleh ditambah menerusi program ekspo sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam sesi temubual khas bagi mengulas berkenaan #MajuBersama dan Belanjawan Selangor 2019 di salah sebuah siaran televisyen tempatan, semalam.

Terdahulu, Amirudin ketika membentangkan Belanjawan Selamgor 2019 turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM87.64 juta atau 6.8 peratus untuk memperkasa aspek pendidikan.

Antara program bakal dilaksanakan adalah Ekspo R&D yang akan menghimpunkan serta menampilkan hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi yang ada dalam Gugusan Pendidikan terbabit.

Malah, dalam tempoh tiga tahun, Kerajaan Negeri merancang untuk memastikan ekspo itu akan berkembang menjadi ekspo penyelidikan tersohor di Asia Tenggara yang mempunyai kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seumpama Institut Teknologi Bandung dari Indonesia, Nanyang Institute of Technology dari Singapura dan Mahidol University dari Thailand.


Pengarang :