Selangorkini
SELANGOR

Kerajaan Negeri cari solusi terbaik atasi isu Taman Perindustrian Meru

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAPAR, 25 JAN: Kerajaan Negeri memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan bagi mencari solusi terbaik menangani isu kemudahan infrastruktur dan utiliti di Taman Perindustrian Meru, di sini.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, tempoh itu bersesuaian ekoran kemelut dihadapi pengusaha kilang di kawasan terbabit berlarutan sejak sekian lama tanpa sebarang tindakan penyelesaian pihak bertanggungjawab.

“Saya minta semua pihak bersabar, khususnya kepada pengusaha kilang ini meskipun menerima pelbagai ugutan daripada pihak tertentu.

“Walaupun masalah ini bukan ditimbulkan Kerajaan Negeri, sebaliknya berpunca daripada pemaju sebelum ini yang telah muflis seterusnya dalam proses itu menyebabkan banyak perkara tidak dapat diselesaikan serta tertangguh.

“Pekilang itu sendiri yang berurusan dengan pihak swasta dan bukan Kerajaan Negeri apabila mereka memberi tanah untuk mendirikan kilang di kawasan ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan sesi taklimat dan pembentangan isu di Taman Perindustrian Meru di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awan dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Mengulas lanjut, Chan Khim berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat selanjutnya dalam tempoh sebulan bersama pihak berkaitan termasuk mencadangkan beberapa langkah sementara terhadap isu terbabit.

Katanya, inisiatif mencari penyelesaian jangka panjang terhadap masalah itu sewajarnya diambil memandangkan kawasan terbabit mempunyai keluasan lebih 300 ekar yang berpotensi menjana ekonomi negeri.

“Kita akan mendapatkan semua data dan maklumat yang lengkap sebelum dibincangkan pada mesyuarat berikutnya serta membuat keputusan selepas dilihat juga dikaji sebaiknya.

“Dalam tempoh sebulan ini, tindakan perlu diambil dan sebagai langkah sementara beberapa arahan diberi khususnya soal pembersihan yang perlu disegerakan, penampal jalan perlu ditampal serta dibaiki.

“Untuk jangka masa panjang, kita mahu pastikan kilang yang sudah siap mematuhi syarat supaya boleh diberi sijil kelayakan untuk menduduki, selain membuat kutipan cukai untuk kerja penyelenggaraan,” katanya.


Pengarang :