SUKANKINI

Kerajaan Negeri komited terus e-sukan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 JAN: Kerajaan Negeri komited akan meneruskan sukan elektronik (e-sukan) di Selangor, pada masa akan datang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, e-sukan berpotensi untuk pergi lebih jauh selepas lima kali penganjuran Selangor Cyber Games dilaksanakan dengan mendapat sambutan memberangsangkan.

“Potensi untuk mengembangkan e-sukan amat luas malahan ia boleh mencipta kerjaya, jaringan perniagaan sekali gus mengisi masa lapang kepada penggiat sukan berkenaan.

“Pada masa sama, ia boleh menepis persepsi buruk segelintir masyarakat yang mengganggap bahawa permainan video (e-sukan) terbabit membazir dan tidak produktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam sesi temubual khas bagi mengulas berkenaan #MajuBersama dan Belanjawan Selangor 2019 di salah sebuah siaran televisyen tempatan, semalam.

Bagaimanapun, katanya, potensi e-sukan amat besar namun jika diukur daripada sudut kesukanan ia belum membuat kitaran sempurna dan perlu dikaji lagi.

Terdahulu, pada Belanjawan Selangor 2019, Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Selangor sebagai peneraju e-sukan dengan mencadangkan peruntukan RM400,000 bagi tujuan pembangunan dan penganjuran pada tahun ini.

Malah, Kerajaan Negeri turut menyasarkan peruntukan RM1 juta dari Kerajaan Persekutuan bagi melonjakkan pembangunan e-sukan ke peringkat serantau.


Pengarang :