NASIONAL

Kerajaan Sabah bakal bina pusat penempatan mangsa banjir

KOTA KINABALU, 27 JAN: Kerajaan Sabah akan membina pusat penempatan mangsa banjir yang tetap di beberapa kawasan, di negeri itu bagi menempatkan penduduk terjejas ekoran bencana alam terbabit.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya sudah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri mengenal pasti tapak bersesuaian untuk membina pusat penempatan terbabit bagi kawasan yang sering dilanda banjir, di negeri itu.

Katanya, pewujudan pusat itu juga pernah dinyatakan ketika kempen Parti Warisan Sabah (Warisan), pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Saya tidak mahu setiap kali banjir berlaku, penduduk terjejas dipindahkan di pusat penempatan sementara termasuk di bangunan sekolah.

“Ia boleh menjejaskan struktur bangunan sekolah yang bukan semua diperbuat dari simen tetapi papan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan jersi dan Pengenalan Pemain Pasukan Bola Sepak Sabah Musim 2019 di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Katanya, pembinaan pusat itu diperlukan ekoran perubahan keadaan cuaca dunia, pada masa sekarang yang tidak boleh diramal.

Justeru, katanya, persediaan rapi perlu ada untuk menempatkan mangsa banjir di pusat penempatan sementara yang tetap dan dilengkapi kemudahan.

Pada masa sama, Mohd Shafie berkata, Jawatankuasa Bencana Alam Negeri sudah digerakkan sejak semalam bagi memantau keadaan banjir yang melanda, terutama di daerah Kota Marudu yang terdapat penduduk kampung dipindahkan ke pusat penempatan sementara.

Beliau juga sudah mengarahkan wakil rakyat di kawasan terbabit memantau penduduk terjejas ekoran bencana alam itu khususnya membabitkan aspek keselamatan, perubatan dan bantuan keperluan makanan.

 


Pengarang :