NASIONAL

KFC, McDonald’s diminta jelas kenaikan harga

SHAH ALAM, 1 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah menghantar notis kepada restoran makanan segera KFC dan McDonald’s untuk meminta penjelasan berhubung kenaikan harga makanannya, baru-baru ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Timbalan Pengarah Penguat kuasa KPDNEHP, Iskandar Halim Sulaiman berkata, kedua-dua restoran itu diberi tempoh sehingga 5 Januari ini untuk menghantar laporan mereka.

“Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 yang memerlukan mereka memberi penjelasan sebab kenaikan harga.

“Ada undang-undang untuk melindungi pengguna, isu ini juga dibangkitkan di media sosial dan media. Sebab itu kita tanya mereka mengapa naikkan harga,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah amaran, sebaliknya hanya notis meminta penjelasan.

Terdahulu, KFC menjelaskan harga makanan yang disenaraikan bermula Disember 2018 adalah termasuk 6 peratus cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Katanya, terdapat beberapa pelarasan kecil bagi harga produknya untuk memastikan syarikat berkenaan dapat terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan kenaikan mendadak harga ayam KFC yang disifatkan pengguna terlalu tinggi.

Dikatakan harga set ayam Snack Plate yang sebelum ini berharga RM12.30 naik kepada RM15.30, manakala Dinner Plate dari RM15.60 kepada RM19.60.


Pengarang :