SELANGOR

KoHijrah perkenal Skim Wakaf Kit Pengurusan Jenazah HIJRAH

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JAN: Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) memperkenalkan Skim Wakaf Kit Pengurusan Jenazah Hijrah Selangor (HIJRAH) bertujuan meringankan kos pengurusan jenazah.

Pengerusi Eksekutif HIJRAH, Dato’ Mansor Othman berkata, KoHijrah akan membekalkan kit pengurusan jenazah itu di masjid, surau dan hospital terpilih.

“Kit yang bernilai RM190 jauh lebih rendah daripada harga pasaran ini akan diagihkan melalui sumbangan wakaf yang dikumpulkan daripada pewakaf KoHijrah.

“Saya mengambil kesempatan untuk menuar-uarkan skim kebajikan baharu KoHijrah kepada semua usahawan dan peniaga HIJRAH, semoga dengan usaha ini diharap dapat membantu masyarakat dalam meringankan kos pengurusan jenazah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Wisma KoHijrah dan Penyerahan Pembiayaan Skim Hijrah Selangor yang disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Wisma KoHijrah, Seksyen 32, di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, beliau menaruh harapan tinggi untuk melihat KoHijrah akan terus maju selain dapat mengharungi cabaran dalam memastikan misi, visi dan objektif penubuhan tercapai.

“Semoga saf kepimpinan ahli lembaga koperasi dapat memimpin dan memacu KoHijrah ke tahap lebih cemerlang.

“Dengan perasmian Wisma KoHijrah, diharap ia menjadi inspirasi dan motivasi kepada semua warga koperasi untuk lebih dinamik, progresif dan proaktif,” katanya.

 


Pengarang :