BERITA UTAMASELANGOR

Komited tunai janji, henti tuding jari-MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 JAN: Kerajaan Negeri tidak mahu bersikap sambil lewa dengan hanya menyalahkan Umno-Barisan Nasional (BN), terutama berkaitan senario semasa ekonomi negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana pihaknya sering mendengar dan membaca luahan kemarahan rakyat supaya Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak meletakkan kesalahan terhadap parti berkenaan.

Katanya, rakyat mahukan pentadbiran diterajui kerajaan PAKATAN, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan mengotakan janji dan melaksanakan segala perubahan yang dijanjikan.

“Sudah pasti saya tidak mahu bersikap sambil lewa dengan hanya menyalahkan Umno-BN. Acapkali juga saya dengar dan membaca luahan kemarahan rakyat supaya kerajaan PAKATAN tidak lagi menyalahkan parti itu.

“Segala gesaan itu adalah wajar kerana rakyat Malaysia memilih untuk menukar sebuah kerajaan korup, rasuah dan tidak cekap, supaya mereka ditadbir kerajaan berwibawa, berintegriti serta efisien,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baru 2019.

Amirudin berkata, rakyat sudah pasti tertanya-tanya sama ada negara akan bertambah baik atau melalui saat sukar selepas perubahan kerajaan, pada 9 Mei tahun lalu.

Katanya, bagi merancakkan ekonomi Selangor, pihaknya mengenal pasti potensi di sembilan daerah melalui Agenda Klusterisasi atau Gugusan Ekonomi, bagi mencetuskan kesan limpahan (spillover effect) kepada setiap pelusuk, di negeri ini.

“Kami yakin dasar ini akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, menarik pelaburan domestik serta antarabangsa, sekali gus memastikan aliran pendapatan baharu buat Kerajaan Negeri.

“Aspirasi murni ini adalah suatu tanggungjawab moral besar dan kewajipan untuk dilunaskan. Pimpinan PAKATAN terutama di Selangor tidak punya waktu untuk dibazirkan kerana kami harus bekerja kuat demi rakyat,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, pembentangan belanjawan lalu mengangkat agenda merancakkan ekonomi, memberdayakan rakyat dan mensejahterakan negeri, namun Kerajaan Negeri perlu berdepan cabaran menetapkan keseimbangan antara mencipta aliran pendapatan baharu serta memastikan program kebajikan golongan B40 dapat diteruskan.

“Suatu penambahbaikan kepada pelaksanaan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) perlu bagi memastikan kesinambungan dan kewangan negeri mampan berlandaskan prinsip ‘gift to empowerment’ bertujuan meningkatkan daya saing penerima IPR serta membantu mereka menaiki tangga mobiliti sosial.

“Saya berikrar akan berusaha keras untuk memastikan setiap rakyat Selangor mendapat manfaat daripada kemakmuran negeri ini,” katanya.


Pengarang :