SELANGOR

Kompaun RM500 kepada pemilik abai kebersihan kediaman

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 17 JAN: Kompaun RM500 akan dikenakan kepada pemilik kediaman yang mengabaikan kebersihan di kawasan sekitar yang menjadi punca penularan wabak denggi.

Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Klang, Dr Masitah Mohamed berkata, tindakan lebih tegas akan dikenakan jika pihaknya menemui tempat pembiakan Aedes, termasuk mengenakan kompaun dan tindakan mahkamah.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk mengambil serius perkara ini bagi mengatasi masalah denggi dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi perbincangan bersama Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung kes denggi di Klang, di sini semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akan membuat program ‘mencari dan memusnahkan’ di kediaman sekitar Klang, bagi menangani masalah itu dalam tempoh terdekat.

Beliau juga optimis masyarakat dapat memberikan kerjasama apabila kakitangan PKD turun padang untuk membuat pemeriksaan.

“Kadang-kadang ada segelintir masyarakat yang tidak mahu memberikan kerjasama, justeru ia menyusahkan pihak kami untuk membuat pemeriksaan.

“Pihak kami berharap masyarakat ambil tindakan awal untuk mencegah wabak denggi daripada terus menular antaranya terbalikkan baldi yang menjadi punca takungan air, bersihkan pasu bunga dan jaga kebersihan kawasan sekitar,” katanya.

Terdahulu, Klang merekodkan 960 kes denggi, tertinggi setakat ini, pada dua minggu pertama awal tahun ini, berbanding hanya 203 kes tempoh sama tahun lalu.


Pengarang :