PBTSELANGOR

Komuniti inklusif fokus Dasar Komuniti Negara

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 30 JAN: Pembentukan komuniti inklusif dan berdaya huni menjadi fokus utama dalam Dasar Komuniti Negara yang bakal dilancarkan di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pada akhir Februari ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, dasar itu turut memberi penekanan terhadap usaha menangani masalah komuniti setempat, khususnya golongan B40 di kawasan perumahan kos rendah.

“Pembangunan komuniti inklusif adalah elemen penting bagi pembentukan negara yang berdaya tahan dan berdaya huni, bahkan menjadi indikator utama dalam membentuk sebuah negara progresif.

“Matlamat dasar ini adalah untuk memperkasa dan mengukuhkan golongan B40 supaya mereka dapat berdikari serta membina kehidupan lebih baik, pada masa hadapan.

“Selain itu, kita mahu memastikan golongan ini mampu menjana pendapatan sendiri dengan lebih tinggi, sekali gus melahirkan generasi yang boleh keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.1/2019, di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Difahamkan, Majlis Pelancaran Dasar Komuniti yang dijadual berlangsung di Dewan Serbaguna MPSJ Puchong Indah itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Noraini berkata, beberapa dimensi baharu turut diterapkan ke arah menggerakkan pembangunan dan berdaya huni dalam kalangan komuniti.

Katanya, ia termasuk pembangunan sosial dengan memastikan setiap lapisan komuniti mempunyai akses kepada keperluan asas misalnya perumahan, ilmu, pekerjaan dan kemudahan berkualiti.

“Komuniti inklusif yang mampu menggembleng tenaga dan bersatu padu dalam mewujudkan kualiti persekitaran setempat lebih aktif serta bersih, selain memastikan kepentingan budaya juga warisan terus diketengahkan.

“Seterusnya, inisiatif dalam mempergiat keterlibatan komuniti dan kolaborasi pelbagai pihak untuk membentuk komuniti inklusif serta berdaya huni,” katanya.


Pengarang :