NASIONAL

Kontrak Secara Pilihan bukan program JPN, KPKT

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 JAN: Jabatan Perumahan Negara (JPN) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan Notis Kontrak Secara Pilihan dibuat Suruhanjaya Perumahan Negara (SPN) bukan sebuah program mahupun penyelarasan oleh kedua pihak berkuasa itu.

Dalam satu kenyataan pihaknya berkata, berdasarkan siasatan dilakukan kewujudan organisasi ini dan notis kontrak pembangunan serta pembinaan secara terpilih bagi projek di bawah SPN juga tidak sahih.

“JPN dan KPKT juga menafikan mengeluarkan sebarang notis kontrak pembangunan dan pembinaan secara terpilih pelbagai perumahan jenis mampu dan serta pembangunan semula, pembinaan semula serta pemulihan projek terbengkalai dan sakit.

“KPKT ingin menasihati orang awam agar memberi maklumat dan melaporkan kepada KPKT atau Jabatan Perumahan Negara atau kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang notis atau surat tawaran yang berunsurkan penipuan menerusi email [email protected] atau [email protected] serta menghubungi talian 03- 8000 8000,” katanya.

Pihak pemaju perumahan dan kontraktor pembinaan juga boleh menyemak kesahihan sesuatu insentif, skim atau program yang diperkenalkan oleh pihak Jabatan dengan melayari portal rasmi Jabatan Perumahan Negara iaitu ehome.kpkt.gov.my atau skiranya terdapat sebarang keraguan atau pertanyaan.


Pengarang :