NASIONAL

KPDNHEP tumpas sindiket seleweng gas LPG

NILAI, 17 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sebuah lori tangki yang memuatkan muatan gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan di sebuah premis di Pandamaran, Klang, Selangor, semalam.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa (Pencegahan dan Perisikan) KPDNHEP Suhaimi Mat Sari berkata, turut dirampas ialah 267 buah tong gas LPG membabitkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM150,000.

Katanya, jumlah itu merangkumi 202 buah tong gas LPG 14 kilogram (kg), tiga buah tong gas LPG 12kg dan 62 buah tong gas 50kg.

“Hasil risikan selama satu bulan dijalankan pihak kami mendapati terdapat aktiviti penyelewengan gas LPG bersubsidi dijalankan.

“Dalam serbuan dijalankan membabitkan 10 anggota, pada jam 1.15 tengah hari semalam di premis terbabit, pekerja di premis itu berjaya melarikan diri dan tiada tangkapan dibuat.

“Bagaimanapun kita menjumpai satu pasport Malaysia di lokasi serbuan dan kita akan menyiasat pemilik sebenar premis berkenaan,” katanya dalam sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit, Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP di sini, hari ini.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan menjalankan urus niaga tanpa lesen perniagaan yang sah.

“Modus Operandi (MO) kali ini agak unik kerana ia memindahkan gas bersubidi daripada tong gas memasak ke dalam tangki lori dan kemudian dipindahkan ke dalam tangki lori yang lain. Kita percaya ia untuk pasaran industri di sekitar Selangor dan Lembah Klang dan bukannya untuk jualan runcit.

“Berbeza sebelum ini, aktiviti penyelewengan gas LPG ini dilakukan dengan pemindahan daripada tong gas 14kg kepada 50kg. Itu MO yang baharu. Setakat ini, kita boleh cakap ini kejayaan terbesar KPDNHEP,” katanya.

Suhaimi berkata, dengan rampasan itu, beliau percaya pihaknya berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan gas LPG.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan denda RM3 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua, jika sabit kesalahan.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :