Selangorkini
NASIONAL

KPKT buat kajian LCE tiga tahun

OLEH AFIX REDZUAN

DAMANSARA, 13 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji model bersesuaian dalam tempoh tiga tahun bagi melaksanakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan (LCE).

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri, Yee Ling ketika membacakan kenyataan Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin berkata, badan bukan kerajaan perlu membantu Kerajaan dalam menyampaikan maklumat lebih jelas berkaitan LCE, supaya ia mendapat sokongan lebih padu dalam kalangan rakyat.

“Banyak isu yang perlu dikaji supaya LCE ini dapat dibuat. Kita akan melihat model pelaksanaan digunakan negara luar yang berjaya mengadakan LCE.

“Hasil kajian selama tiga tahun ini akan dibentangkan untuk persetujuan jemaah menteri,” katanya dalam satu forum di Royal Chulan, The Curve, Mutiara Damansara.

Beliau berkata, usaha itu boleh dimulakan di beberapa negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang terlebih dahulu selain perbincangan berkenaan limitasi kewangan.

Katanya, satu jawatankuasa khas juga ditubuhkan dan sudah bermesyuarat sebanyak tiga kali sepanjang tahun lalu serta melihat kepada perkara pindaan akta sebelum ia dapat dilaksanakan.

 


Pengarang :