NASIONAL

KPKT rancang sejuta unit rumah mampu milik dalam 10 tahun

GEORGE TOWN, 5 JAN: Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang membina sejuta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun dalam usaha membantu orang ramai terutama golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT akan menyelaras semua projek perumahan di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan membina 100,000 unit rumah setahun bermula tahun ini.

“Ia merangkumi rumah mampu milik untuk semua terutama bagi golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) supaya mereka memiliki rumah sesuai untuk didiami dan boleh dianggap sebagai tempat sekeluarga berteduh.

“Lokasi dan jumlah unit rumah di setiap negeri akan ditentukan dalam masa terdekat selepas kami mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Hartanah Pulau Pinang 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Soam Heng Choon.

Zuraida berkata, KPKT juga dalam perbincangan dengan beberapa institusi kewangan dalam usaha untuk menawarkan beberapa inisiatif bagi memudahkan golongan B40 memiliki rumah antaranya skim sewa dan beli serta skim bank.

“Pembeli terutama golongan berpendapatan rendah ini mampu untuk membayar bulanan tetapi agak susah membayar deposit kerana memerlukan wang yang banyak, jadi kami sedang mengadakan perbincangan dengan institusi kewangan bagi mencari jalan penyelesaian.

“Kami juga sudah bincang dengan Bank Negara Malaysia dan pelabur perumahan yang bersetuju untuk tampil membantu menyediakan skim pembiayaan bagi membolehkan pemohon mendapat kelonggaran pinjaman,” katanya.

Sementara itu, Zuraida menafikan jumlah 100,000 unit rumah yang akan dibina setiap tahun itu akan menambah kepada jumlah lambakan rumah tidak terjual yang sekarang kini sebahagian besarnya kategori mampu milik.

Katanya unit kediaman tidak terjual sebelum ini akan cuba dijual menerusi ekspo pemilikan kediaman diadakan bermula bulan ini.

“KPKT, REHDA dan pemaju sudah berunding untuk mengadakan ekspo pemilikan kediaman seperti pernah dianjurkan sebelum ini bagi menjual rumah itu kepada orang ramai,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :