NASIONAL

KPKT sokong cadangan denda pesalah vandalisme

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyokong cadangan supaya pesalah vandalisme dikenakan tindakan denda dan kerja komuniti.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau pernah membangkitkan cadangan sama sebelum ini sebagai langkah mendidik dan pengajaran buat pesalah supaya tidak mengulangi kesalahan sama, pada masa akan datang.

“Pentingnya pesalah bagi kesalahan seperti vandalime dan membuang sampah merata-rata diberi pengajaran sewajarnya supaya perkara ini tidak berulang.

“Dalam Konvenyen Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diadakan pada 10 hingga 11 Disember 2018, penegasan turut diberi terhadap penguat kuasaan PBT bagi menjamin kelestarian komuniti dengan pelaksanaan undang-undang yang tegas dan efisien,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, KPKT turut menghargai pendapat masyarakat umum dalam menambah baik perkhidmatan dan memastikan usaha mewujudkan komuniti serta generasi mampan tercapai bagi membangunkan komuniti secara holistik.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan pesalah vandalisme perlu diwajibkan menjalani program khidmat masyarakat sebagai langkah pemulihan.

Katanya, selain berkesan, langkah terbabit bakal memupuk kesedaran sivik dalam diri individu berkenaan dan lebih berkesan bagi menimbulkan rasa takut serta malu dalam kalangan pelaku.

 

 


Pengarang :