EKONOMISELANGOR

KPS umum dua pelantikan baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 JAN: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) melantik Ahmad Fariz Hassan sebagai Pengarah Urusan (MD), tambahan jawatan semasa beliau selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Ahmad Fariz mempunyai pengalaman kerja 20 tahun dalam sektor perbankan, pelaburan, pengguna dan pembangunan hartanah.

Beliau sebelum ini berkhidmat di Ekuiti Nasional Berhad dan Khazanah Nasional Berhad.

Pada masa sama, KPS turut mengumumkan pelantikan Koay Li Onn sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, juga berkuat kuasa, pada 1 Januari 2019.

Koay ketika ini adalah MD Bangsawan Group yang menyediakan nasihat korporat, kewangan dan strategik, di seluruh Singapura dan Malaysia.

Pengerusi KPS, Raja Shahreen Raja Othman dalam kenyataan berkata, Ahmad Fariz menjadi teraju utama dalam menyusun konsep dan merealisasikan Pelan Transformasi Perniagaan Kumpulan.

“Pelbagai pengambilalihan perniagaan baharu dan pegangan majoriti di syarikat dengan pertumbuhan berpusat meletakkan kumpulan ini di landasan pengembangan yang mampan.

“Dengan tanggungjawab sepenuhnya terhadap kepimpinan dan pembangunan perniagaan KPS, beliau kini akan bertugas untuk memainkan peranan lebih banyak dalam memenuhi rancangan perniagaan Kumpulan yang bercita-cita tinggi menuju masa hadapan,” katanya.


Pengarang :