NASIONAL

KTM sedia tren tanpa henti bermula 19 Januari

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad) menyediakan perkhidmatan tren yang beroperasi tanpa henti selama empat hari tiga malam, sempena sambutan Thaipusam, bermula 19 Januari ini.

Pengurus Besar Operasi KTM Berhad, S Mahendran berkata, operasi itu membabitkan laluan Seremban-Batu Caves, Batu Caves-Seremban, Pelabuhan Klang-KL Sentral dan KL Sentral-Pelabuhan Klang.

Katanya, perkhidmatan itu disediakan bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khususnya penganut Hindu serta pelancong untuk ke Batu Caves.

“Kita jangkakan lebih dua juta pengguna akan menggunakan perkhidmatan komuter sempena Thaipusam 2019, berbanding 1.3 juta pengguna pada perayaan sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, perkhidmatan tren ulang-alik dari Batu Caves-Sentul-Batu Caves turut disediakan buat penumpang bagi mengelakkan kesesakan, di Stesen Batu Caves.

Katanya, kaedah bayaran tambang perlu dibuat menggunakan Kad Komuter Link atau Touch n Go sahaja.

“Bersempena Thaipusam, Kad Komuter Link akan dijual pada harga RM3 berbanding RM5, bermula 19 hingga 22 Januari ini.

“Penumpang warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun perlu menggunakan tiket khas untuk mendapatkan harga konsesi dengan diskaun tambang 50 peratus,” katanya.


Pengarang :