SELANGOR

Kuih tradisional tarikan Medan Selera Pasar Selayang Baru

OLEH NADIAH ZAMLUS

BATU CAVES, 1 JAN: Kuih tradisional merupakan antara menu yang menjadi tarikan orang ramai untuk berkunjung ke Medan Selera Pasar Selayang Baru, di sini.

Peniaga, Aina Najihah Mohd Najib, 19, berkata Kuih Dangai yang dijual ibunya secara turun temurun menjadi tarikan pengunjung, sejak 20 tahun lalu.

“Hanya ibu saya yang menjual kuih ini, di sini sehingga menjadi tumpuan orang ramai dan kami menghasilkannya menggunakan acuan sendiri.

“Selain Kuih Dangai, turut menjadi kegemaran pengunjung medan selera ialah kuih bakar yang dijual RM4 sekeping,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, Abu Bakar Ahmad, 69, pula sudah menjalankan perniagaan makanan di medan selera terbabit lebih daripada 30 tahun.

Katanya, antara menu yang menjadi tarikan di kedainya termasuk Teh Tarik Buih Madu Halia dan cucur udang.

“Memang seronok berniaga sebab kita sudah lama di sini dan sudah dikenali orang ramai, medan selera ini dibuka setiap hari sehingga jam 1 petang.

“Kebiasaannya ia penuh pada waktu hujung minggu, bukan sahaja orang Gombak yang datang tapi turut didatangi penduduk luar dari kawasan ini,” katanya.


Pengarang :