PENDIDIKANSELANGOR

KUIS bantu tingkat kemahiran Inggeris kanak-kanak Thailand

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 JAN: Seramai 45 pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berjaya melaksanakan program membantu pelajar Thailand menguasai Bahasa Inggeris.

Program yang dinamakan ‘Teaching English Language’ itu diadakan selama empat hari sehingga 4 Januari lalu di Sekolah Anuban Wanthong, Koh Lanta, Krabi.

Pensyarah Jabatan Dakwah dan Usuluddin Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Faiz Abdul Rahim berkata, objektif program itu dilaksana untuk meningkatkan kemahiran pelajar dalam aspek bertutur, menulis dan membaca dalam Bahasa Inggeris.

“Ia juga untuk menjalinkan hubungan persaudaraan dua hala antara mahasiswa KUIS dan pelajar Sekolah Anuban Wangthong serta penduduk Kampung Koh Lanta.

“Selain itu, menerusi program ini kita dapat meningkatkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar Sekolah Anuban Wangthong, penduduk kampung dan mahasiswa KUIS,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Selain itu, beliau berkata, program itu selaras dengan matlamat bagi memperkenalkan KUIS sehingga dikenali di persada antarabangsa.

Difahamkan, seramai 45 pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Dakwah Dengan Pengurusan Sumber Insan KUIS dan tiga pensyarah terlibat dalam program itu.

Manakala, aktiviti pembelajaran disertai 30 pelajar tahun tiga hingga enam Sekolah Anuban Wangthong.

Antara pengisian program, pelajar diajar mengenali abjad dan cara berkomunisi dalam Bahasa Inggeris di depan khalayak ramai.

Selain itu, pelajar KUIS turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan mengecat dinding sekolah terbabit.


Pengarang :