NASIONAL

Kurang penggunaan gula dalam minuman

BATU GAJAH, 13 JAN: Syarikat pengeluar minuman di negara ini diminta mengurangkan kandungan gula berbanding menggunakan gula alternatif dalam setiap produk minuman dihasilkan, menjelang pelaksanaan cukai ke atas minuman bergula, mulai 1 April ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, hal itu kerana penggunaan gula alternatif bagi menggantikan gula sebenar akan meningkatkan kos sesuatu produk.

“Ini akan menjadi satu isu (kenaikan kos) dalam kalangan syarikat pengeluar minuman kerana kita mahu mereka mengurangkan kadar gula dalam produk minuman (paket atau tin).

“Tidak bermakna minuman itu tidak mengandungi gula jika kadar penggunaan gula dikurangkan, cuma rasa minuman itu akan jadi lain sedikit berbanding jika menggunakan gula dengan jumlah yang banyak,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah serta Kempen Anti Merokok peringkat Parlimen Batu Gajah yang turut dihadiri anggota parlimennya, V. Sivakumar, di sini hari ini.

Pada 2 November 2018s, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 berkata, kadar cukai 40 sen seliter akan dikenakan terhadap minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum.

Katanya, ia membabitkan minuman mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain melebihi 5 gram per 100 mililiter serta jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :