EKONOMINASIONAL

Kutipan kasar cukai langsung bagi 2018 meningkat 11.13 peratus

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Prestasi kutipan kasar cukai langsung negara bagi tahun lalu oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) meningkat 11.13 peratus kepada RM137.035 bilion berbanding 2017, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, pencapaian itu telah mencipta satu sejarah baharu dalam kutipan hasil cukai langsung negara dan turut mengatasi pencapaian terbaik yang direkodkan pada 2014 iaitu RM133.70 bilion.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh peningkatan kutipan daripada komponen pembayar cukai seperti syarikat, individu, petroleum, koperasi, duti setem dan lain-lain.

“Selain daripada mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), peningkatan hasil ini juga menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang masih menggalakkan pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kutipan hasil daripada cukai pendapatan (selain petroleum) telah menyumbang kira-kira 85.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan pada tahun lalu.

Komponen syarikat adalah penyumbang terbesar iaitu 51.11 peratus, diikuti komponen individu (26.32 peratus), kutipan hasil cukai petroleum (14.66 peratus), kutipan duti setem (4.33 peratus), kutipan cukai pegangan (2.27 peratus), kutipan Cukai Keuntungan Harta Tanah (1.07 peratus), kutipan cukai koperasi (0.12 peratus) dan Labuan IOFC serta lain-lain cukai (0.12 peratus).

“Kerajaan komited untuk mengurangkan ketirisan hasil dan meningkatkan kadar pematuhan cukai di Malaysia dan bagi tujuan itu, Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) telah dilancarkan bermula 3 November tahun lalu dan akan tamat pada 30 Jun ini dengan menawarkan pengenaan kadar penalti yang sangat rendah iaitu 10 peratus dan 15 peratus.

“Sehubungan itu, kerajaan menyeru pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai agar segera mengambil peluang menyertai program ini bagi mengelak dikenakan penalti yang lebih tinggi iaitu 80 peratus hingga 300 peratus apabila program ini tamat kelak,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :