PBTSELANGOR

Kutipan sampah percuma MPSJ sempena Tahun Baru Cina

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyediakan perkhidmatan mengutip sampah pukal secara percuma di kawasan taman perumahan selama 12 hari bermula 28 Januari sehingga 8 Februari ini bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina 2019.

Timbalan Pengarah, Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik, Azfarizal Abdul Rashid memaklumkan, perkhidmatan ini hanya dilaksanakan mengikut tempoh masa ditetapkan dan pihaknya tidak akan melaksanakan kutipan terbabit selepas tamat tempoh yang dinyatakan.

“Perkhidmatan kutipan sampah pukal ini akan dilakukan mengikut jadual kutipan sampah domestik di kawasan masing-masing melalui permohonan yang dikemukakan penduduk.

“Penduduk yang telah membuat permohonan dikehendaki meletakkan sampah pukal di hadapan rumah mereka bagi memudahkan pihak KDEB melaksanakan kerja kutipan sampah pukal tersebut secara berperingkat,” katanya.

Penduduk yang berminat dikehendaki mengemukakan permohonan dengan menghubungi talian Jabatan Pengurusan Alam Sekitar seperti 03-80263182, 03-80264363, 03-80267430, 03-80267431 dan 03-80267433.


Pengarang :