GLOBALNASIONAL

Lebih 20 pulau di Indonesia bakal tenggelam

OLEH AFEEQA AFEERA

KABUPATEN, INDONESIA, 1 JAN: Eksploitasi dan pengusahaan bahan mineral tanpa batasan di kepulauan kecil, di sekitar Indonesia bakal meranapkan sebahagian besar pulau, di negara terbabit.

Melalui kajian dilakukan Tempo.co, Data Kementerian Kelautan dan Perikanan, pada 2011 menyebut sebanyak 28 pulau kecil di negara itu sudah tenggelam, manakala 24 pulau kecil bakal mengalami nasib sama dalam jangka masa panjang.

Katanya, kebanyakan pulau terbabit terjejas ekoran perlombongan nikel yang menjejaskan perut pulau dan merosakkan bahagian darat selain mencemarkan kawasan perairan di sekitarnya.

“Firma perundingan strategik dan risiko global di United Kingdom, Verisk Maplecroft menganggarkan 1,500 pulau kecil di Indonesia akan tenggelam, pada 2050 seiring dengan kenaikan air di permukaan laut,” katanya.

Kajian sama mendapati Pulau Gee seluas 1.71 kilometer persegi di Halmahera Timur, Maluku Utara kini gersang ekoran perlombongan nikel yang menjadikan permukaan pulau kecil itu rosak.

Manakala tiga kilometer di selatan Pulau Gee, iaitu Pulau Pakal seluas 7.09 kilometer persegi turut mengalami nasib sama dengan kawasan hutan di bahagian tengah pulau habis ditebang.

Di Pulau Kawe di Raja Ampat, Papua Barat, perlombongan nikel juga menggondolkan bahagian tengah pulau, walaupun aktiviti berkenaan sudah dihentikan sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, kerosakan di pulau seluas 45.14 kilometer persegi itu belum pulih dengan lubang bekas pengorekan masih terbuka luas.

Sementara di Pulau Bangka di Sulawesi Utara, seluas 47.78 kilometer persegi turut menenrima nasib sama hasil pembangunan infrastruktur, di kawasan terbabit.

 


Pengarang :