SELANGOR

Lebih 8,000 pemilik premis perbaharui lesen perniagaan MPAJ

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 JAN: Seramai 8,546 pemegang lesen di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuat pembaharuan lesen premis perniagaan, setakat 31 Disember tahun lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 5,186 atau 61 peratus pemegang lesen membuat pembayaran melalui sistem ICOMM dengan menggunakan perbankan dalam talian (online banking), kad debit dan kad kredit.

“Pembaharuan lesen daripada pemilik premis perniagaan membabitkan jumlah kutipan keseluruhan RM5.3 juta.

“Manakala, peningkatan hasil daripada kutipan terbabit sebanyak RM771,252.52 dengan kadar kenaikan jumlah pembaharuan lesen sebanyak 1,008 pemilik premis.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bil.1/2019, di Menara MPAJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Abd Hamid berkata, sebanyak 330 pemegang lesen premis perniagaan membuat pembaharuan lesen 2019 di Kaunter Lobi MPAJ dengan kadar denda RM200, sehingga 17 Januari lalu.

Katanya, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan bermula Januari terhadap pemilik premis perniagaan yang gagal membuat pembaharuan lesen di bawah Peruntukan Undang-Undang Kecil MPAJ 2007.


Pengarang :