GLOBAL

Letupan paip Mexico: Korban meningkat kepada 89 orang

MEXICO CITY, 22 JAN: Angka kematian dalam insiden letupan akibat kebocoran saluran paip minyak di Tlahuelilpan, Hidalgo meningkat kepada 89 orang, lapor agensi berita China Xinhua.

Angka korban dalam insiden letupan pada 18 Januari itu semakin meningkat kerana beberapa mangsa yang cedera parah meninggal dunia akibat kecederaan mereka.

“Malangnya, empat lagi telah meninggal dunia, menyaksikan peningkatan kepada jumlah 85 orang yang sebelum ini diumumkan.

“Hari ini, jumlah kematian ialah 89 orang,” kata Menteri Kesihatan Jorge Alcocer kepada pemberita dalam sidang akhbar harian kerajaan.

Sejumlah 65 orang masih hilang manakala 51 lagi dimasukkan ke beberapa hospital di Mexico Tengah.

Dua remaja yang cedera telah dibawa ke bandar Galveston, Texas di Amerika Syarikat untuk menerima rawatan khusus bagi luka terbakar.

Sementara itu, Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador menekankan fakta bahawa tragedi tersebut berlaku disebabkan kegiatan mencuri minyak, satu jenayah biasa yang cuba dihapuskan oleh kerajaannya.

“Tragedi ini sudah tentu boleh dielak jika tiada rasuah di Mexico atau kegiatan mencuri minyak,” kata beliau.

Katanya, kerajaan akan mempertingkat pengawasan di sepanjang rangkaian saluran paip yang dimiliki dan dikendali oleh syarikat minyak negara Petroleos Mexicanos (Pemex) bagi mengekang kegiatan haram itu.

– BERNAMA

 


Pengarang :