SUKANKINI

Lotto suntik semangat PKNS FC

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 JAN: PKNS FC mendapat suntikan semangat dalam menempuh Liga Malaysia (Liga M) musim 2019 apabila Lotto tampil menjadi penaja utama jersi skuad The Red Ants itu.

Jenama pakaian sukan itu menjadi pilihan pengurusan pasukan berkenaan selepas kali terakhir digunakan pada 2014.

PKNS FC turut mengekalkan tradisi dengan jersi oren sebagai jersi pertama pasukan manakala warna hijau dan ‘maroon’ digunakan buat pertama kali sebagai jersi kedua serta warna biru untuk jersi ketiga.

Jersi penjaga gol pula berwarna hitam, kuning dan merah.

Terdahulu, majlis pelancaran jersi baharu dan pengenalan pemain pasukan itu disempurnakan EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman di Uptown Shah Alam di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Norita Mohd Sidek; Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd Jabar dan Pengurus Pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abd Rashid.

Dalam majlis sama, tiga pemain skuad kendalian Datuk K Rajagobal yang menyambut ulang tahun kelahiran pada Januari lalu turut diraikan.

Selain itu, slogan baharu iaitu #FearNothing juga diperkenalkan sebagai motivasi tambahan supaya semua pemain diazimatkan tidak gentar dengan sebarang halangan ketika beraksi di padang.

Dengan mengambil inspirasi sang semut yang kecil tetapi berjiwa besar seperti pasukan PKNS FC, sikap tidak pernah putus asa, kerjasama berpasukan dan pantas menghidu peluang akan diterapkan dalam pasukan.


Pengarang :