GLOBAL

Lubnan adu PBB, Israel cabul wilayahnya

BEIRUT, 11 JAN: Lubnan akan mengemukakan aduan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung pencabulan Israel ke atas wilayahnya, lapor agensi berita China Xinhua.

Majlis Pertahanan Tinggi Lubnan dalam kenyataannya berkata, Tentera Lubnan akan diberi arahan yang perlu bagi menangani kesemua pencabulan itu.

Katanya, Lubnan juga dijangka mempertingkat hubungan diplomatiknya untuk menjelaskan pendirian negara tersebut berhubung pencerobohan Israel.

Keputusan ini dibuat dalam satu mesyuarat majlis itu di Istana Baabda, yang menghimpunkan para pegawai tinggi keselamatan dan ahli politik terkemuka negara tersebut bagi membincangkan perkembangan di selatan sempadan Lubnan.

Mesyuarat itu diadakan selepas Israel meletakkan sejumlah 25 blok simen di sepanjang sempadan berhampiran Kampung Adaisseh, dengan enam daripadanya di lokasi yang dipertikai.

Majlis Pertahanan Tinggi memberi jaminan bahawa Lubnan komited mempertahan setiap inci tanah dan sumber airnya sambil bersedia menyempurnakan rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan.

– BERNAMA


Pengarang :