SELANGORSENI

Lukis seni graffiti hingga ke Dubai

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 19 JAN: Minat melukis seni graffiti akhirnya membolehkan seorang remaja lelaki mempamerkan bakatnya hingga ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Beliau, Mohamad Fakhri Mohd Salleh, 28, turut berjaya membawa hasil seninya hingga ke Belgium, Bandung dan Jakarta.

Katanya, hobinya mula berputik sejak dari Tingkatan Tiga dan kemudiannya bertambah serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pereka grafik, namun disebabkan semakin sibuk membuat seni graffiti akhirnya saya jadikan ianya kerjaya sepenuh masa.

“Sememangnya menghasilkan graffiti ini satu kepuasan kerana ianya dizahirkan melalui dinding yang boleh ditonton oleh orang awam secara percuma,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui ketika Graffiti Art Fest 2019 anjuran pelajar Tahun Akhir Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di Jump Street Trampoline Park di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Zaki Nordin, 32, yang turut bergelar pelukis graffiti sepenuh masa memberitahu karyanya menjadi pilihan syarikat terkemuka di negara ini.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, tidak ketinggalan pengusaha restoran dan kafe turut mengupahnya untuk menghasilkan lukisan unik graffiti di premis yang baharu dibuka.

“Saya mula aktif melukis graffiti sejak 2010 lagi dan sekarang menjadikan ianya sebagai sumber rezeki utama.

“Baru-baru ini saya baru saja kembali daripada Phuket, Thailand kerana menghasilkan lukisan graffiti dan pada saya ia amat menyeronokkan,” katanya.

Mohd Zaki yang popular dengan gelaran Escapeva berkata, perkembangan seni graffiti di Malaysia semakin memberangsangkan walaupun pada awalnya kurang diterima.

“Jika dulu ianya dilihat hanya sebagai seni jalanan semata-mata, namun kini sudah banyak pihak yang berminat dan menjadikan ianya pengindah suasana sekali gus menjadikan sesebuah tempat bertambah ceria.

“Malaysia juga sudah mempunyai pelukis graffiti profesional dan ianya semakin bertambah ramai dari masa ke semasa,” katanya.


Pengarang :