Selangorkini
AGAMA SELANGOR

LZS mahu netizen selidik dahulu sebelum tular

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menasihatkan orang ramai supaya membuat pengesahan dengan pihak bertanggungjawab atau menyelidik sesuatu perkara sebelum menularkannya di laman sosial.

Ketua Pegawai Penyelarasnya, Abdul Basith Hamid berkata, hal itu bagi mengelakkan ia menjatuhkan kredibiliti sesetengah pihak termasuk LZS.

Katanya, LZS menghargai keprihatinan netizen dalam sesuatu perkara membabitkan masyarakat sekeliling terutamanya golongan tidak berkemampuan.

“Dalam isu dua beradik warga Rohingya yang menyelongkar kawasan sampah. Mereka ini merupakan etnik Rohigya dan memegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan ia membabitkan isu perundangan.

“Kita berterima kasih kepada netizen yang prihatin dalam hal ini tetapi ramai yang mempersoalkan intitusi zakat. Oleh itu, kita menyarankan masyarakat selidik dahulu sebelum bertindak menularkannya di laman sosial.

“Masyarakat perlu faham, LZS tidak membantu mereka sebaliknya, mengagihkan bantuan zakat kepada warganegara beragama Islam.

“Syarat utamanya, mestilah Islam dan warganegara yang sah. Jika tidak mempunyai kad pengenalan, mereka mesti mempunyai status bermastautin yang sah, kita boleh salurkan bantuan kepada mereka,” katanya yang mengunjungi keluarga berkenaan baru-baru ini.

Basith berkata, pihaknya hanya boleh membantu keluarga itu melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya NGO Persatuan Ulama Rohingya dan Madrasah Rohingya di Sungai Pinang, Klang.

Terdahulu, tular di media sosial dua beradik berpakaian sekolah menyelongkar tempat pembuangan sampah.

Ibu bapa kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Nur Islam Abdul Husson, 43, dan isterinya, Nujumah Khatu Sultan Islam, 43, tinggal di negara ini sejak 20 tahun lalu.

Pasangan itu mempunyai enam anak berumur satu hingga 14 tahun dan menyewa di sebuah rumah kedai, berhampiran pasar berkenaan.

Ayahnya bekerja sebagai pembantu di kedai menjual sayur-sayuran di pasar berkenaan dengan upah RM50 sehari, manakala isterinya tidak bekerja.


Pengarang :