SELANGOR

Mahmud yakin pengurusan baharu terus legasi CSSB

OLEH AFEEQA AFEERA

KLANG, 23 JAN: Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB), Dato’ Mahmud Abbas, yakin pengurusan baharu yang akan menggantikannya mampu menerajui syarikat terbabit dengan sebaiknya.

Beliau yang akan menamatkan perkhidmatan pada 31 Januari ini berkata, CSSB diyakini akan kekal maju berdasarkan komponen pembangunan terancang yang dibincangkan, sebelum ini.

“Pengganti saya nanti sedia maklum komponen pembangunan yang perlu dan boleh dilaksanakan kerana kita sudah memiliki perancangan rapi.

“Sumbangan CSSB yang ada hari ini bukan saya seorang yang buat tetapi hasil kerjasama semua yang bekerja sebagai satu pasukan,” katanya pada majlis perpisahannya anjuran kakitangan CSSB, di Selangor Bio Bay Show Gallery, Pulau Indah, hari ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Mengulas berkenaan calon yang bakal menggantikannya, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, esok (24 Januari).

“Pengganti adalah orang dalaman yang dihantar ke London Business School untuk dapat pengalaman dan bergaul dengan ramai pihak bagi mengendalikan syarikat.

“Saya akan cadangkan orang dalaman mengambil alih tempat saya dan pengganti akan diumumkan, dalam masa terdekat,” katanya.

Mahmud akan berlepas ke Madinah untuk memulakan tugas baharu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, di Knowledge Economic City.

 


Pengarang :