SELANGOR

MAIS komited perjuang hak Islam & Perundangan Syariah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sentiasa komited memperjuangkan Islam dan Perundangan Syariah, khususnya meletakkan agama Islam di tempat tertinggi.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, hal itu memandangkan banyak cabaran perlu ditempuh dalam usaha memartabatkan perundangan dan kehakiman Islam, masa kini.

Katanya, umat Islam juga sering dihambat dan dicabar dengan berbagai isu yang boleh mengganggu usaha MAIS mendaulatkan serta menaiktaraf institusi agama, di Selangor.

“Wujud golongan yang berani mencabar kewujudan institusi agama termasuk Mahkamah Syariah dan undang-undang jenayah Syariah dengan mencabar peruntukan kesalahan jenayah Syariah didakwa bersifat ‘Moral Policing’ seperti khalwat, persetubuhan haram serta minum arak, kononnya bercanggah dengan peruntukan Kebebasan Asasi dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini salah satu contoh cabaran besar yang sedang dihadapi institusi agama kerana wujudnya golongan masyarakat terlalu liberal dan mentafsirkan hak asasi secara literal tanpa memikirkan kemaslahatan masyarakat, keperluan Maqasid Syariah serta undang-undang yang berfungsi mengawal juga mendidik moral masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan dan Penyampaian Sijil Peguam Syarie Selangor, di Dewan Muktamar Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dato’ Mukhyuddin Ibrahim; Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain dan Presiden Persatua Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang

Majlis itu turut menyaksikan seramai 62 Peguam Syarie bagi sesi 2017/2018 menerima pertauliahan secara rasmi, sekali gus bakal menjadi ejen untuk membantu masyarakat dalam mendapatkan keadilan sewajarnya.

Pada masa sama, Mohammed Khusrin berkata, sebagai pihak yang menggerakkan institusi agama dan Syariah, inisiatif memelihara serta bertindak sebagai ejen yang membela Islam amat penting daripada terus diporak peranda golongan tidak bertanggungjawab.

“Jika tidak bertindak, budaya pemikiran terlalu liberal tanpa panduan dan asas yang benar akan menyebabkan kemudaratan besar dalam kalangan masyarakat Islam.

“Apa yang paling risau adalah kebangkitan golongan ini yang semakin berani memperjuangkan hak asasi tanpa sempadan, seperti kebangkitan golongan Lesbian Gay Biseksual dan Transeksual (LGBT) yang memperjuang hak kebebasan mereka untuk mengamalkan cara hidup songsang mereka,” katanya.


Pengarang :