MAIS salur RM4.34 juta kepada Rumah Pemulihan Ar-Riqab | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Norway

Wartawan

Norhayati Umor

MAIS salur RM4.34 juta kepada Rumah Pemulihan Ar-Riqab

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 12 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan RM4.38 juta kepada Rumah Pemulihan Ar-Riqab (RPA) menerusi Geran Sukuan 2019, bagi membantu asnaf riqab.

Pengerusi Jawatankuasa Riqab negeri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sumbangan itu membabitkan 18 RPA berjumlah RM1.916 juta, geran tahunan kepada sembilan RPA berjumlah RM1.560 juta dan sumbangan van kepada tujuh RPA berjumlah RM872,412.


Katanya, ia bertujuan membantu golongan terbabit yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan selain pelbagai bantuan lain supaya kembali ke pangkal jalan.

“Golongan riqab ini juga layak mendapat manfaat wang zakat melalui program pemulihan dilaksanakan MAIS dengan dibantu badan bukan kerajaan berdaftar bertujuan mendidik dan membimbing mereka menjadi mukmin yang diredhai.

“Bantuan keperluan hidup juga turut diberikan kepada golongan ini, sebagai contoh, asnaf riqab diberi bantuan sewa rumah supaya mereka boleh berhijrah ke tempat tinggal yang lebih baik untuk istiqamah dengan cara hidup bersyariat,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Aziz berkata, bantuan kewangan bulanan juga diberikan kepada individu yang menjaga mereka untuk menggalakkan asnaf riqab menghadiri kelas bimbingan dianjurkan MAIS.

Katanya, MAIS turut menyalurkan bantuan lain antaranya modal perniagaan dan perubatan untuk meringankan beban kehidupan.

“Ini adalah menjadi kewajipan MAIS untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan serta kesejahteraan ekonomi juga sosial masyarakat Islam khususnya selaras hukum syarak.

“Perkara ini termaktub di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 di bawah seksyen 7 (1),” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan itu pada Majlis Penyerahan Geran Dan Sumbangan Van Rumah Pemulihan Ar-Riqab di Hotel Aliya, di sini.

Antara RPA yang menerima sumbangan bagi Geran Sukuan 2019 adalah Hidayah Insani, Rumah Sahabat, Bela Insan dan Sahabat PERKID.

Manakala sumbangan bagi Geran Tahunan 2019 adalah Rumah Penawar Sungai Panjang, Rumah Solehah dan Pertubuhan Insan Disayangi, sementara penerima sumbangan van pula ialah Bayi Rahmah, Rumah Safiyyah dan Akhlak Insani.

Untuk rekod, Bahagian Pemulihan Ar-Riqab MAIS menguruskan lebih daripada 30 buah RPA dengan pembahagian kepada tiga kategori, antaranya masalah sosial dan akidah, pemulihan dadah dan pemulihan komuniti disayangi (LGBT).

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next