AGAMASELANGOR

MAIS siasat sindiket penipuan peluk Islam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 JAN: Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat diarah mengambil tindakan segera susulan penularan gambar keluarga berbangsa India yang didakwa memeluk Islam untuk mendapatkan wang kutipan derma jemaah masjid, di laman sosial baru-baru ini.

Bahagian Komunikasi Korporat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam kenyataan berkata, arahan dikeluarkan supaya pihak berkenaan dapat memaklumkan kepada masjid dan surau untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan kejadian seumpama itu.

“Walaupun gambar itu tular pada 2012, namun kita terpanggil untuk memberi penjelasan sebenar supaya tiada pihak yang terpedaya.

“Justeru, masjid dan surau di daerah berkenaan diminta supaya berwaspada dengan kejadian sedemikian memandangkan insiden sebenar gambar itu berlaku di daerah Hulu Langat,” katanya.

Terdahulu, tular poster sindiket penipuan memeluk Islam oleh sebuah keluarga kaum India yang diketuai seorang wanita, melalui aplikasi Whatsapp.

Difahamkan, mereka melafazkan syahadah berkali-kali bertujuan mendapatkan simpati, bantuan dan sumbangan orang ramai, terutama dalam kalangan penganut Islam, di negara ini.

Sindiket itu juga mula dikesan di Surau Taman Seroja, Salak Tinggi Sepang, sebelum merebak ke beberapa kawasan lain termasuk di Bandar Baru Bangi, Puchong, Shah Alam dan Subang Jaya.

Pada masa sama, MAIS turut memaklumkan pihaknya sudah mengambil inisiatif menambah baik Prosedur Operasi Standard pengislaman, khususnya di masjid dan surau, di Selangor.

Katanya, proses muallaf yang diislamkan di masjid dan surau perlu didaftarkan terus di pejabat agama Islam daerah berdekatan.

“Bahagian Pendaftaran Muallaf MAIS juga mengadakan ‘road show’ ke masjid dan surau bagi memberi penjelasan berkenaan penambahbaikan proses pengislaman serta pendaftaran pengislaman muallaf, di Selangor bermula tahun 2013 hingga kini.

“Penambahbaikan dan jaringan kerjasama yang baik dengan pihak tertentu seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia, Islamic Outreach Selangor dan Multiracial Reverted Muslim juga diadakan bagi memperkemas pengurusan pengislaman supaya kes seumpama ini tidak berulang lagi,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai disaran merujuk ke laman sesawang www.mais.gov.my bagi mendapatkan informasi terkini berkenaan proses pengislaman dan senarai pusat pendaftaran pengislaman yang diperakui MAIS atau menghubungi Bahagian Pendaftaran Muallaf MAIS di talian 03-33614000.


Pengarang :