NASIONALPENDIDIKAN

Malaysia tinjau peluang buka universiti di Indonesia

JAKARTA, 10 JAN: Kementerian Pendidikan Malaysia meninjau peluang untuk membuka cawangan universiti awamnya di Indonesia yang mempunyai lebih 260 juta penduduk.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, program lawatan kerja pertamanya ke Indonesia sejak menerajui kementerian itu juga bagi meningkatkan kerjasama pendidikan sedia ada antara kedua-dua negara.

“(Dalam lawatan kerja ini) kita akan melihat ruang dan peluang yang boleh ditawarkan kepada pendidikan Indonesia.

“(Antaranya) ruang yang boleh diterokai untuk membina atau menubuhkan cawangan universiti kita, di Indonesia,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, di sini, hari ini, lapor BERNAMA.

Selain itu, Dr Maszlee berkata, beberapa universiti di Indonesia juga menyatakan minat mereka untuk membuka cawangan, di Malaysia.

Dr Mazlee dijadual bertemu dengan rakan sejawatnya, Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Muhadjir Effendy, untuk perbincangan lanjut berhubung misi lawatannya itu, esok.

Pada lawatan kerja dua hari itu, Dr Maszlee juga akan mengadakan lawatan ke Universitas Muhammadiyah Prof Dr Hamka dan Tzu Chi School selain mengadakan perjumpaan bersama pelajar Malaysia.


Pengarang :