NASIONAL

Malaysia tuan rumah bengkel ‘Inclusive Trade in Commonwealth’

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi bengkel ‘Inclusive Trade in Commonwealth’, bermula 29 Januari ini dengan agenda utama membincangkan peranan usahawan wanita dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, bengkel selama dua hari itu bertemakan ‘Public Private Dialogue on Women in the Digital Economy and International Trade’ (Dialog Awam Swasta mengenai Wanita dalam Ekonomi Digital dan Perdagangan Antarabangsa).

Katanya, ia akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Tumpuan acara ini adalah pelancaran aplikasi mudah alih khusus bagi usahawan wanita Malaysia.

“Aplikasi ‘SheTrades in the Commonwealth’ dibangunkan Pusat Perdagangan Antarabangsa (ITC), sebuah badan yang ditubuhkan secara bersama oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata, aplikasi itu bukan hanya menghubungkan lebih ramai usahawan wanita, malah mempromosikan perdagangan yang lebih terbuka dan adil untuk mereka.

Ong berkata, usaha ‘SheTrades’ komited untuk menjadikan data berkaitan perdagangan dan kontrak kerajaan lebih telus, antara lain, di samping membolehkan lebih ramai usahawan wanita menyertai proses bidaan bagi aktiviti kontrak dan perdagangan antarabangsa.

“Ini penting kerana dalam keadaan semasa, banyak perkara lebih cenderung kepada lelaki dalam sektor korporat dan kerajaan selain peserta sedia ada lazimnya bergantung kepada rangkaian sedia ada.

“Memandangkan kebanyakan usahawan wanita bermula secara kecil, mereka mungkin tidak berada dalam rangkaian sedia ada, justeru saya yakin usaha ini akan membantu usahawan wanita di Malaysia dan negara Komanwel mencipta peluang lebih luas dan menangani halangan perdagangan,” katanya.

Mengulas berkenaan penyertaan wanita dalam perdagangan tempatan, katanya, lebih ramai wanita hari ini membabitkan diri dalam aktiviti berkaitan e-dagang kerana saluran itu memberi fleksibiliti kepada mereka untuk bekerja dari mana-mana sahaja termasuk privasi kediaman mereka sendiri.

“Saya berharap beberapa kisah kejayaan usahawan wanita akan dikongsi pada acara itu dan usahawan wanita Malaysia akan memanfaatkan peluang untuk memperluas perniagaan mereka dengan menjalin rangkaian dengan 500 peserta dari 22 negara Komanwel yang dijangka menghadiri bengkel ini,” katanya.

Bengkel itu dianjurkan ITC dan Sekretariat Komanwel dengan kerjasama kerajaan Malaysia.

 


Pengarang :