NASIONAL

Manogaran calon PRK Cameron Highlands

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, pada 26 Januari ini.

Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan perkara itu ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di Yayasan Al-Bukhary, di sini.

“Kita sudah tentukan sapa bertanding. Calon kita adalah calon lama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan kekal bertanding.

“Kita yakin akan menang PRK ini walau siapa pun yang bertanding dan percaya akan dapat atasi masalah,” katanya.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan bahawa keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang Datuk C Sivarraajh dari MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ekoran itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan pilihan raya berkenaan terbatal.

Pada masa sama, Suruhanjaya Pilihan Raya pada 28 Disember lalu mengesahkan Naib Presiden MIC, Sivarraajh, tidak layak bertanding dalam PRK berkenaan yang bakal diadakan, pada 26 Januari ini.


Pengarang :