NASIONAL

Masyarakat antarabangsa bangga ketegasan Malaysia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 JAN: Masyarakat antarabangsa memuji sikap tegas ditunjukkan Kerajaan Malaysia berhubung isu penindasan Israel terhadap Palestin.

Antara pemimpin yang mendapat pujian ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ia susulan kedua-dua pemimpin itu bertegas tidak membenarkan atlet Israel menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak pada 29 Julai hingga 4 Ogos 2019.

Reaksi itu dapat dilihat apabila beberapa foto warga Palestin sedang memegang poster Dr Mahathir dengan tertera tulisan berbunyi ‘The Palestinians thank Tun Mahathir and Malaysia’ berlegar di Facebook, sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, beberapa foto yang menunjukkan kanak-kanak Palestin memegang poster Syed Saddiq dengan tulisan berbunyi “YB Tuan Syed Saddiq: We are very proud of you” turut tersebar.

Manakala di youtube, video yang memaparkan pendirian Malaysia berhubung isu sama turut dimuat naik pemilik akaun laman sosial itu daripada serata dunia khasnya negara jiran, Indonesia.

Antaranya video bertajuk ‘Temuramah Mahathir yang memalukan Israel’ yang sehingga kini mendapat 1.1 juta tontonan.

Video terbabit dirakam ketika Dr Mahathir menghadiri sesi debat di Oxford Union, pada 19 Januari lalu.

Selain itu, banyak lagi video sama yang dimuat naik netizen lain dengan pelbagai tajuk seperti ‘Detik-detik Tun Mahathir mempermalukan Israel #Indo React dengan caption ‘salute bapak ini’ turut mendapat sambutan.

Sebelum ini, video ucapan Dr Mahathir mengecam pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi di Persidangan Negara Asean November lalu gara-gara sikap Suu Kyi membabitkan isu penindasan etnik Rohingya turut tular dan mendapat pujian masyarakat antarabangsa.

Perdana Menteri tertua di dunia itu sememangnya terkenal dengan sikap tegas dan lantang dalam menyuarakan isu keadilan antarabangsa khasnya membabitkan penindasan terhadap masyarakat Islam serata dunia.


Pengarang :